Ismail Sabri tak sombong, kata orang Bera

Ismail Sabri tak sombong, kata orang Bera

Oleh Husin Ibrahim 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

BERA: Warga Bera berasa amat bertuah apabila Ahli Parlimen mereka iaitu Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9, hari ini.

Surirumah Sharijah Pei , 42, dari Kampung Bongkok, Kerayong, berkata dia memang tidak menduga langsung jawatan yang dikosongkan Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan menjadi milik pemimpin dari Bera.

“Siapa sangka, pemimpin yang mudah saya dekati selama ini tiba tiba menjadi amat penting di dalam Kerajaan Malaysia sekarang. Saya mengenali beliau sejak lima tahun lalu. Beliau selalu membantu kegiatan kami di kampung,” katanya. 

Penduduk, V Saravanan, 48, berkata Ahli Parlimen Bera itu tidak sombong, mudah didekati dan selalu ambil tahu masalah rakyat dalam kawasannya, sejak mengenali pemimpin itu kira-kira 20 lalu. 

“Beliau selalu tolong kami di Kampung Mengkarak Station. Beliau juga tak pilih bangsa. Apabila tahu ada masalah perlu diselesaikan, beliau atau wakil akan datang untuk membantu kami,” kata Saravanan.

Sementara itu, Md Shabudin Wok, 70, berkata dirinya pernah memberitahu Ismail Sabri bahawa pemimpin berkenaan akan berada pada kedudukan yang tertinggi dalam politik.

“Kami adalah rakan yang bersama-sama menubuhkan Jawatankuasa Penaja UMNO Bahagian Bera pada 2003. 

“Ketika itu, beliau adalah Timbalan Ketua Bahagian. Seorang pemimpin yang sabar. Suka berunding dalam banyak perkara sebelum membuat keputusan dan tidak mementingkan diri. Beliau rajin, kuat bekerja dan berkebolehan. 

“Oleh itu, saya yakin Dato’ Sri mampu untuk menghadapi dan menyelesaikan dua perkara utama ketika ini iaitu wabak Covid-19 dan pemulihan ekonomi negara,” katanya.