Ismail Sabri ucap terima kasih dicalonkan PM pada PRU15

Ismail Sabri ucap terima kasih dicalonkan PM pada PRU15

KUANTAN: YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berterima kasih apabila beliau dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, ia adalah amanah dan tanggungjawab yang harus dipikul untuk mengembalikan kestabilan negara ini.

“Bismillahirrahmanirrahim, salam sebuah perjuangan dan salam Keluarga Malaysia. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Presiden, kepimpinan Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan seluruh ahli UMNO yang mencadangkan saya menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU15 akan datang.

“Sesungguhnya, ini adalah sebuah amanah dan tanggungjawab yang harus dipikul untuk mengembalikan kestabilan Malaysia, dalam membina kemajuan yang lebih gemilang dan memelihara kesejahteraan setiap ahli Keluarga Malaysia,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri pada PRU15. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN