Istana Negara bantu mangsa banjir di Jerantut

Istana Negara bantu mangsa banjir di Jerantut

KUANTAN: Pasukan Bencana Istana Negara meneruskan misi bantuan kepada mangsa banjir dengan sumbangan barang keperluan harian dan duit buat 41 keluarga di Kampung Yong dan Kampung Atok, Kuala Tahan, Jerantut, semalam.

Sukarelawan turut menempuh perjalanan kira-kira 30 minit menaiki bot dari jeti Kuala Tahan ke Kampung Yong dan Kampung Atok.

Misi bantuan itu diketuai oleh Pengarah Operasi Pasukan Bencana Istana Negara yang juga Juruiring Tentera Udara kepada Seri Paduka Baginda, Brigadier Jeneral Dato’ Zahari Yahya.

Turut serta, Juruiring Tentera Darat, Brigadier Jeneral Dato’ Sharizan Wan Chik dan Penolong Pengurus Bantuan Kemanusiaan Yayasan TM, Nuraini Ishak.

Misi bantuan itu juga membabitkan penyertaan sukarelawan Pasukan Telekom Malaysia Reaching Out Volunteers (TMROVers).

Kerjasama antara Pasukan Bencana Istana Negara dan TMROVers adalah atas perkenan dan cetusan idea KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda menzahirkan hasrat agar Pasukan Bantuan Bencana Istana Negara bekerjasama dengan pihak atau badan bukan kerajaan dalam membantu jentera kerajaan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN