KUANTAN: Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) diarah memberi penerangan dan penjelasan kepada penduduk terhadap usaha serius Kerajaan Pahang untuk mengatasi masalah bekalan air di Pekan.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata siri penerangan itu akan dilakukan menerusi tanggungjawab korporat (CSR) PAIP.
Selaku Ahli Lembaga Pengarah PAIP, beliau juga meminta PAIP agar program CSR itu dapat dilaksanakan berterusan di seluruh Pahang iaitu di kawasan yang mengalami masalah bekalan air.
“Ini supaya penerangan yang lebih jelas dan tepat dapat diberikan kepada rakyat,” katanya selepas menerima kunjungan Pengurus Besar Division Perkhidmatan Korporat PAIP, Mohd Haniff Mohd Nor dan Penolong Operasi PAIP, Muhammad Amirul Afiq Muzakir, di pejabatnya, di sini, semalam.
Mohammad Fakhruddin berkata, kunjungan itu bagi membincangkan perancangan program CSR membabitkan PAIP bersama wakil rakyat, kepimpinan dan penduduk di kawasan yang mengalami masalah bekalan air di Pekan, termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar.
Beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Pahang amat serius dalam usaha mengatasi isu bekalan air di negeri ini.
Malah, katanya, RM184.4 juta diperuntukkan bagi menyelesaikan masalah itu seperti yang dinyatakan oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail ketika Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, pada 1 April lalu. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN