Isyarat positif pengundi muda buat BN

Isyarat positif pengundi muda buat BN

KUANTAN: Sokongan pengundi muda terhadap Barisan Nasional (BN) kini dilihat semakin bertambah selepas kempen menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilakukan secara berterusan.

Golongan yang sebelum ini keliru untuk memilih parti mana yang akan diundi mula berubah dan menetap hati untuk mengundi BN.

Menurut Mohamad Imran Hafiz, 27, dia pasti memilih BN yang banyak menabur bakti kepada rakyat. 

Menurutnya, kerajaan BN yang stabil di Pahang memberi peluang kepada dia menyambung pengajian di peringkat kolej sehinggakan mendapat pinjaman pendidikan daripada Yayasan Pahang.

“BN perlu memenangi PRU15 ini bagi memastikan nasib orang Melayu terus terbela, hanya pemimpin BN sahaja mampu menguruskan negara dengan berkesan dan berjaya.

“Saya berharap pengundi muda tidak mudah terpengaruh dengan janji kosong pemimpin pembangkang, episod ditipu sebelum ini seharusnya menjadi pengajaran,” katanya.

Bagi Mohamad Izad Haikal, 22, yang kali pertama mengundi mendakwa dia perlu membuat pilihan tepat bagi mengelak rasa menyesal selepas PRU15 nanti.

“Saya akan memilih kerajaan yang telah berjaya memimpin Pahang, banyak jasa dalam membela nasib rakyat.

“Dalam bidang pendidikan saya telah menerima pelbagai bantuan disediakan kerajaan negeri,” katanya yang akan membuang undi Sekolah Kebangsaan (SK) Bunut Rendang, di sini. – MOHD IMRAN IZZAD