GEORGETOWN: “Itu hanya gimik orang politik,” demikian reaksi Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad menjawab isu had umur perkhawinan yang kembali ditularkan, semalam.
Beliau berkata, rata-rata dalam kalangan masyarakat tahu had umur kebenaran perkahwinan di negeri ini dan kebanyakan negeri lain iaitu 18 tahun bagi lelaki dan 16 perempuan.
“Saya kira semua orang tahu bahawa kita ade Enakmen 3 tahun 2005 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2005, bahagian dua, perkahwinan. Semak di Seksyen 8 umur minimum perkahwinan, yang mana mereka di bawah umur, tidak dibenarkan berkahwin melainkan dengan permohonan melalui mahkamah.
“Jadi sepatutnya ketika Ketari (Young Shefura Othman-DAP) bahaskan pada 2018, dia sudah tahu adanya enakmen ini. Semalam persoalan ini dibangkitkan lagi olehnya di Facebook,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas isu berkenaan selepas menyampaikan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 Siswa dan Siswi kelahiran Pahang sebanyak RM200 seorang di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, di sini, hari ini.
Seramai 154 daripada keseluruhan 204 penuntut anak Pahang yang sedang mengikuti pengajian di USM menerima bantuan daripada Kerajaan Pahang membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM43,000.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, kebanyakan negeri lain juga mempunyai enakmen hampir sama dengan Pahang berkaitan perkara berkenaan.
“Bahkan kita menjawab di dewan (Dewan Undangan Negeri Pahang) pada 2018 apabila ada cadangan dari ahli dewan supaya dibenarkan hubungan tanpa kahwin dengan menggunakan alat pencegah hamil (kondom).
“Jadi kita mewakili Kerajaan Pahang memberikan jawaban tidak salah dikahwinkan bawah umur walaupun baru 11 Tahun, berbanding dengan melarangnya sehingga melakukan perbuatan terlarang.
“Apa sebab kita benarkan… selain daripada (hukum) syarak membenarkan, kita juga mempunyai enakmen yang mengatur pekara ini seperti negeri lain juga, bukannya (dilakukan) secara meluru tetapi mesti melalui prosedur ditetapkan dan mendapat kebenaran mahkamah.
“Walaupun ada, jumlah kelulusan adalah amat terhad sekali,” jelasnya.
Tambahnya, meskipun kes seumpama itu amat terpencil dengan bilangan sangat kecil, bukan semua permohonan diluluskan.
Selain itu, beliau meminta pelbagai pihak terutama pembangkang supaya tidak menyalah tafsirkan perkara itu.
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman membangkitkan kembali isu itu selepas mengucapkan tahniah kepada kerajaan Kedah kerana menaikkan had umur minimum perkahwinan bagi wanita kepada 18 tahun menerusi satu hantaran di Facebook. – HELMY ABD RAHMAN