DUA pingat emas menjadi sasaran atlet menembak Pahang, Izzuddin Muhamad Shafri pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022, di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan, Subang, 16-24 September ini.
Atlet kelahiran Kuantan itu akan berjuang dalam dua acara individu 50 meter ‘rifle prone’ dan 50 meter ‘rifle 3 positions’.
“Berbekalkan pengalaman sebelum ini dan persiapan sepanjang tahun dilalui, saya yakin impian meraih dua pingat emas akan menjadi kenyataan.
“Saya ingin meneruskan kecemerlangan Sukma Perak 2018 apabila berjaya membawa pulang dua pingat emas,” katanya.
Dia yang kini melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, dia hanya mampu meraih pingat gangsa dalam acara 50 meter rifle berpasukan, pada Sukma Sarawak 2016.
Izzuddin berkata, saingan pastinya datang daripada atlet menembak Selangor. – MOHD IMRAN IZZAD