Jabatan Perikanan sasar 1.5 juta benih ikan, udang

Jabatan Perikanan sasar 1.5 juta benih ikan, udang

BERA: Jabatan Perikanan Pahang sasar melepaskan sekurang-kurangnya 1.5 juta benih ikan air tawar dan udang galah bermutu tinggi ke perairan umum negeri ini, sepanjang 2023.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar, berkata pihaknya sudah melepaskan lebih sejuta benih lapan spesies ikan air tawar bermutu tinggi, sepanjang 2022.

Katanya, antara spesies ikan air tawar yang dilepaskan ke beberapa sungai utama dan tasik ialah temelian, kelah, lampam sungai, siakap, sebarau, baung, tengalan dan kerai lampam.

“Program pelepasan dilakukan berperingkat sepanjang tahun,” katanya selepas program melepaskan 35,000 benih baung, lampam sungai dan terbol di Tasik Bera, di sini, semalam. – MOHD IMRAN IZZAD