Jabatan Perikanan sedia RM3.9 juta bantuan perikanan hadapi COVID-19

Jabatan Perikanan sedia RM3.9 juta bantuan perikanan hadapi COVID-19

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Gambar Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang menambah bantuan sebanyak RM3.9 juta tahun ini bagi menghadapi pandemik COVID-19 berbanding RM2.8 juta tahun lalu.

Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, bantuan di bawah dasar jaminan makanan itu diberikan kepada kumpulan sasar di negeri ini bagi membantu meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

KUANTAN..Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah (tengah) dan Abdullah Jaafar (kiri) ketika melawat projek ternakan sangkar di Felda Panching Selatan.

“Bantuan antaranya meliputi skop khidmat sokongan akuakultur dan biosekuriti, geran pemadanan kawasan zon industri akuakultur, pengembangan akuakultur, elaun sara hidup nelayan, bantuan input peralatan dan bantuan benih ikan. 

“Sebagai jabatan teknikal, usaha dilipatgandakan untuk membimbing usahawan dan golongan muda dalam bidang perikanan termasuk menambah nilai pengeluaran melalui pemprosesan produk dan pembungkusan supaya dapat dipasarkan lebih meluas secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi lawatan Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah di Felda Panching Selatan, di sini semalam.

Abdullah berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan berterusan bagi membantu kumpulan sasar yang terbabit  dalam industri perikanan di negeri ini supaya dapat terus berdaya saing meskipun dalam berhadapan pandemik COVID-19.

Selain itu, katanya, Jabatan Perikanan menyokong ternakan ikan khususnya patin dalam sangkar secara kluster yang menunjukkan potensi dan daya maju yang tinggi.

Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah pengeluaran ikan untuk makanan di Pahang bagi subsektor perikanan laut, akuakultur dan sungai pada tahun 2020 ialah sebanyak 117,317 metrik tan yang bernilai kira-kira RM940 juta. 

“Walaupun dalam tempoh pandemik COVID-19 bermula 2020, pengeluaran ikan tangkapan, akuakultur dan perikanan sungai di Pahang berada dalam kedudukan lima negeri tertinggi di Semenanjung dan tertinggi di Pantai Timur,” katanya.