Jadi warganegara bertanggungjawab, ketepi sikap pentingkan diri

Jadi warganegara bertanggungjawab, ketepi sikap pentingkan diri

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kapten Pahang Rangers FC, Akmarulnizam Idris mengakui terkejut dengan situasi semasa penularan wabak COVID-19 yang mencecah sehingga 9,020 kes, semalam.

  Akmarulnizam atau Ebeck berkata, lebih membimbangkan jumlah kes di Pahang terutama di Kuantan juga meningkat sejak beberapa minggu lalu.

Kapten Pahang Rangers FC, Akmarulnizam Idris.

  Katanya, penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari yang berkuat kuasa esok diharap membantu membendung penularan wabak terbabit.

  “Agak sedih juga kita terpaksa menempuh situasi sukar ini sekali lagi, ramai yang akan terjejas. Tapi suka atau tidak, itu mungkin langkah difikirkan terbaik oleh kerajaan.

  “Namun kejayaan membendung penularan wabak COVId-19 bukan terletak pada ‘total lockdown’ semata-mata tetapi pada diri sendiri.

  “Tanya pada diri adakah kita telah menjadi warganegara yang bertanggungjawab dan ketepikan sikap pentingkan diri,” katanya.

  Beliau berkata, langkah terbaik ialah tidak keluar rumah, rentas negeri atau daerah tanpa sebab munasabah.

  “Anggaplah ini pengorbanan kecil kita, selagi ada yang berdegil selagi itu kita tidak akan menang.

  “Saya berharap kita semua tabah dan kuat menempuh ujian ini, demi Pahang, demi Malaysia, doakan kita beroleh kemenangan,” katanya.