Jadikan anak rakan karib

Jadikan anak rakan karib

PEKAN: Ibu bapa hendaklah menjadi rakan aktif dalam proses pembelajaran anak di sekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata begitu juga peranan guru dalam mendidik untuk melahirkan murid cemerlang.

“Permuafakatan di antara ibu bapa dan pihak sekolah amat penting dalam meningkatkan imej sekolah. Sebagai ibu bapa, kitalah yang menentukan sama ada anak kita terdidik dengan nilai murni dan mempunyai kekuatan dalaman.

“Bagi saya, tidak adil melepaskan tanggungjawab ini ke atas bahu guru dan pihak sekolah semata-mata.

“Kerana itu melalui Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan guru perlu menjadi rakan karib yang sepakat dan proaktif demi memastikan kemajuan pendidikan, kebajikan pelajar dan guru serta pembangunan sekolah dapat dicapai,” katanya.

Fakhruddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SK Serambi Kali ke-35 di sini, semalam.

Sempena mesyuarat itu, Kerajaan Pahang meluluskan peruntukan RM30,000 kepada PIBG dan SK Serambi.

Peruntukan itu diluluskan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail bagi kegunaan membeli pembesar suara, membina pentas perhimpunan sekolah, peralatan bilik guru dan bilik mesyuarat serta lain-lain keperluan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN