KUANTAN: KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mahu melihat institusi pendidikan di negeri ini menjadi antara yang terbaik, bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat dunia.
Baginda bertitah, menerusi strategi pelaksanaan yang betul dan komitmen tinggi daripada semua pihak, sasaran itu tidak mustahil untuk dicapai.
Untuk itu, titahnya, kerajaan negeri perlu mengatur dan menyediakan pelan ampuh serta tersusun bagi menjayakan misi berkenaan.
“Saya mahu melihat institusi pendidikan Pahang menjadi antara yang terbaik di (dalam) negara dan di dunia.
“(Oleh itu) Kerajaan saya perlu menetapkan misi dan visi untuk membolehkan Pahang mempunyai sekolah terbaik, kolej terbaik, universiti terbaik malah pusat tahfiz terbaik,” titahnya.
Baginda bertitah demikian sempena Titah Diraja Pemangku Raja Pahang sempena Mesyuarat Pertama Penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Baginda turut bertitah supaya kerajaan negeri mempercepatkan usaha membuat penempatan baharu bagi memindahkan keluarga yang sering berdepan bencana banjir.
Selain itu, Tengku Hassanal Ibrahim bertitah suapaya semua jabatan dan agensi Kerajaan Pusat dan negeri mempercepatkan pelaksanaan projek yang diluluskan dengan mematuhi peraturan dan tatacara sedia ada.
“Saya tidak mahu melihat projek sakit atau lambat pelaksanaannya di Pahang. Setiap peruntukan yang diterima perlu dibelanjakan dengan cepat dan betul supaya rakyat menerima manfaat sebaiknya,” titahnya.
Baginda turut menyambut baik usaha memperhebatkan sistem perhubungan digital di negeri ini yang membabitkan pembinaan menara telekomunikasi baharu, menaik taraf menara telekomunikasi sedia ada dan menyediakan jalur lebar tanpa wayar di bawah pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
“Menuju ke arah Revolusi Industri 5.0 (IR 5.0) dan pelaksanaan 5G di negara kita, saya tidak mahu Pahang ketinggalan.
“Saya tidak mahu ada lokasi terutama di kawasan luar bandar yang langsung tidak menerima liputan Internet dan kawasan yang menerima liputan Internet perlahan pula perlu ditambah baik dari semasa ke semasa,” titahnya.
Tengku Hassanal Ibrahim juga berkongsi mengenai usaha baginda memelihara alam sekitar, flora dan fauna di negeri ini termasuk inisiatif memelihara Harimau Malaya yang berdepan ancaman kepupusan.
“Sekiranya kita semua tidak memberikan perhatian sewajarnya, tidak mustahil anak cucu kita hanya dapat melihat dan mengenal Harimau Malaya sekadar dalam Jata Negara atau di kulit passport kita sahaja,” tegas baginda.
Dalam pada itu, baginda memuji YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan Pahang dan ketua jabatan serta agensi kerajaan atas komitmen menjaga pentadbiran kerajaan negeri secara telus dan adil.
“Syukur alhamdulillah, pelaburan sebanyak RM10.5 bilion tahun lalu membawa Pahang dinobatkan pada kedudukan ketiga (terbanyak) berbanding negeri lain.
“Usaha dan tindakan memperkukuhkan ekonomi dan meningkatkan pendapatan negeri harus digandakan menerusi inisiatif dan pendekatan baru.
“Saya sentiasa menyokong langkah jentera pentadbiran kerajaan saya asalkan berlaku adil dan berlandaskan prinsip murni demi kesejahteraan rakyat saya,” titahnya yang turut mengingatkan semua ahli dewan supaya sentiasa berpegang kepada prinsip mendahulukan rakyat dan kemakmuran negeri ketika berbahas. – HELMY ABD RAHMAN