Jadikan krisis politik sebagai pengajaran – Mohd Sharkar

Jadikan krisis politik sebagai pengajaran – Mohd Sharkar

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar

KUANTAN: Malaysia memerlukan kerajaan stabil dan berpengalaman bukan sahaja untuk mentadbir, malah ketika berdepan krisis kesihatan dan ekonomi seperti sekarang.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, krisis politik yang berlaku kebelakangan ini seharusnya dijadikan pengajaran kerana ia tidak membantu dalam menghadapi krisis kesihatan ketika ini.

“Usahlah kita terus mencari kesalahan mana-mana pihak kerana keputusan telah pun dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Terima kasih sepanjang perkhidmatan yang diberikan oleh Tan Sri dan seluruh anggota Kabinet atas tugas yang dilaksanakan sepanjang tempoh menjawat jawatan yang diamanahkan terhadap mereka.

“Selepas ini, kita serah kepada kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik kerajaan baharu supaya pentadbiran negara tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, apa yang perlu diutamakan adalah krisis kesihatan akibat pandemik COVID-19 dapat diatasi dan negara segera mencapai imuniti kelompok sekali gus membolehkan rakyat pulih daripada kemelut kekalutan ekonomi.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan supaya semua ahli UMNO bersatu hati di bawah parti keramat itu.

“Perikatan Nasional (PN) cuma sekadar ruang untuk UMNO menyumbang kepada bangsa dan negara. Perjalanan kita dalam UMNO telah mendewasakan kita dan persahabatan kita mesti terus kekal.

“Seteruk mana pertengkaran antara dua beradik, akan berbaik semula seperti biasa,” katanya.