KUANTAN: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengingatkan ibu bapa supaya memberi lebih perhatian kepada anak masing-masing sepanjang musim tengkujuh.
Ini bagi memastikan anak mereka berada dalam keadaan selamat dan tidak berlaku insiden tidak diingini ketika bencana itu melanda kawasan tempat tinggal mereka.
“Saya nasihatkan kepada ibu bapa jaga anak-anak supaya tidak ada kehilanganlah dalam keadaan macam inilah,” titahnya ketika ditemui media selepas menziarahi pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Beserah, di sini, hari ini.
Seramai 226 penduduk terjejas banjir daripada 50 keluarga ditempatkan di PPS itu sejak dua hari lalu.
Banjir buruk melanda Pantai Timur Semenanjung sejak Ahad lalu menyaksikan seorang bayi lelaki berusia setahun tiga bulan terkorban di Kelantan.
Bayi itu ditemukan lemas di Kampung Gual Tok Deh, dekat Pasir Mas, Kelantan, tengah hari semalam.
Sebelum itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut akibat banjir di Terengganu setelah ditemukan lemas di Kampung Apal, Jerteh, Besut pada 18 Disember.
Dalam pada itu, Sultan Abdullah turut menasihatkan semua penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir untuk terus berwaspada dan mendengar arahan pihak kerajaan jika diarahkan berpindah.
“Semua penduduk harus berwaspada dengan keadaan dan dengarlah arahan pihak kerajaan supaya berpindah atau berada di PPS.
“Saya harap juga tempat PPS ini sentiasa berada dalam keadaan selesa dan bersih, jagalah kebersihan semasa berada di PPS dan banyaklah bersabar termasuklah juga media,” titahnya. – KHALEEF FITRIĀ