KUANTAN: Penduduk di kawasan Parlimen Paya Besar, khususnya di Sungai Lembing, di sini, dinasihat mengutamakan keselamatan diri dan keluarga ketika banjir.
Ahli Parlimen Paya Besar, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, berkata langkah itu bagi mengelak kejadian tidak diingini ketika musim tengkujuh.
“Saya minta semua penduduk Sungai Lembing dan Paya Besar amnya berhati-hati dan jaga keselamatan diri dan keluarga. Bersama kita berdoa supaya banjir cepat surut,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, Mohd Shahar yang juga Timbalan Menteri Kewangan 1 berkata, sebagai langkah awal, kerja pembersihan aliran Sungai Pandan berhampiran Taman Perumahan Pandan Damai dilakukan.
“Alhamdulillah, pembersihan itu dilakukan kerana rumput dan sampah tersangkut yang dibawa arus sungai apabila hujan lebat.
“InshaAllah semoga dengan kerja pembersihan ini kita dapat mengelak air melimpah ke atas jambatan dan mengakibatkan laluan masuk ke Taman Pandan Damai ditenggelami air dan terputus hubungan,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN