KUANTAN: Pengunjung tiga pantai di daerah ini, Pekan dan Rompin dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan apabila beriadah terutama melakukan aktiviti air berikutan kedatangan Monsun Timur laut sejak 3 November lalu.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman, berkata pengunjung perlu sentiasa berwaspada dengan keadaan pantai.
Pada masa sama, katanya, pematuhan dari segi prosedur operasi standard (SOP) di kawasan pantai perlu diutamakan bagi mengelakkan penularan Covid-19.
“Sebaiknya elakkan berada di kawasan sesak dan seniasa memakai pelitup muka kerana kawasan pantai menjadi tumpuan selepas kebenaran beriadah,” katanya.
Di daerah ini, antara pantai yang menjadi tumpuan ialah di Teluk Cempedak, Pantai Sepat, Kempadang, Balok dan Cherating.
Pantai Air Leleh dan Nenasi di Pekan serta pantai Hiburan di Rompin juga menjadi tumpuan ramai.
Che Adam berkata, bagi memastikan keselamatan pengunjung, anggota APM ditempatkan di pantai untuk memantau keadaan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN