KUANTAN 29 Oktober 2023. (FIKRAH PAHANG) – Seramai hampir 100 peserta seluruh negara sertai Kursus Pra Perkahwinan OKU (pekak) anjuran Persatuan Orang Pekak Pahang (PADA) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), dan Jakel Kuantan di Masjid Tepian Putra.
Program selama dua hari dan berakhir semalam itu dirasmikan Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Dato’ Haji Abdul Zaki Md Zain.
Katanya, kursus tersebut bukti keprihatinan kerajaan terhadap golongan OKU, sekaligus merupakan komitmen dalam usaha memastikan OKU mendapat kefahaman yang baik mengenai Islam, di samping masyarakat cakna terhadap keperluan OKU Muslim.
Beliau berkata, program seumpama dapat mengajak golongan OKU bersama-sama merasai tanggungjawab bagi melaksana tuntutan Islam secara menyeluruh dan memberi kefahaman berkaitan ilmu rumah tangga serta membuktikan JAIP, MUIP dan JAKIM komited menyebarluaskan dakwah Islamiah kepada semua golongan masyarakat tanpa meminggirkan golongan OKU seperti mereka. TAMAT
Oleh: KABHI ISMAIL