KUANTAN: Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) meminta orang ramai yang memiliki al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak akibat banjir, dikumpulkan bagi tujuan pelupusan.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan Jaip, Noridzuan Abdul Manan, berkata tempat pengumpulan adalah di masjid kariah atau surau setempat sebelum pihaknya mengambil dan mengumpul al-Quran serta bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak secara berperingkat untuk dilupuskan.
“Ia bertujuan memelihara kemuliaan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang mana kita akan lupuskan mengikut tatacara pelupusan mengikut kaedah menepati hukum syarak.
“Kerja-kerja pelupusan akan dilakukan di pusat pelupusan di Kampung Temin, Jerantut, kemudian abunya ditaburkan ke laut,” katanya, di sini, semalam
Menurutnya, ketika kejadian banjir awal Januari lalu, Jaip mengumpul dan melupuskan lebih 15 tan al-Quran rosak di seluruh negeri ini. – MOHD IMRAN IZZAD