JAIP perkenal Dokumen Rasmi Nikah, Cerai dan Rujuk Bersekuriti Tinggi Pahang

JAIP perkenal Dokumen Rasmi Nikah, Cerai dan Rujuk Bersekuriti Tinggi Pahang

KUANTAN: Kerajaan Pahang menerusi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) memperkenalkan Dokumen Rasmi Nikah, Cerai dan Rujuk Bersekuriti Tinggi Pahang dalam bentuk kad pintar untuk pasangan suami isteri Islam di negeri ini.  

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata kad berkenaan digunakan secara rasmi hari ini.

“Dokumen ini mempunyai maklumat sijil nikah, cerai dan rujuk serta kad perakuan nikah dilengkapi ciri-ciri keselamatan lebih baik bagi mengelak pemalsuan.

“Maknanya, semua data berkaitan status perkahwinan ada dalam rekod… tak boleh tipu dan kita (kerajaan negeri) menggalakkan pasangan suami isteri yang belum memilikinya untuk menukarkan kad nikah lama dengan dokumen ini yang boleh diperoleh di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) masing-masing,” katanya.  

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Kursus Pra-Perkahwinan Islam Perdana dan Pelancaran Dokumen Rasmi Nikah, Cerai dan Rujuk Bersekuriti Tinggi Negeri Pahang di Dewan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini, hari ini.

Hadir sama, Mufti Pahang, Dato’ Sri Dr Abdul Rahman Osman; Pengarah JAIP, Dato’ Dr Zulkifle Ali dan Ketua Hakim Syarie Negeri Pahang, Dato’ Sri Abdul Rahman Md Yunos.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM500,000 sejak 2020 hingga Jun tahun ini membabitkan sumbangan RM200 kepada setiap pasangan pengantin baharu di negeri ini menerusi Inisiatif Khas Pasangan Pengantin (IKPP).

“Inisiatif ini satu daripada usaha menggalakkan perkahwinan bagi meningkatkan kadar kelahiran dan penambahan bilangan penduduk di negeri ini dan kita (kerajaan negeri) bercadang menaikkan jumlah sumbangan pada tahun depan, bergantung kepada keadaan ekonomi negeri,” katanya.

Sementara itu, katanya, JAIP menerusi PAID sentiasa menganjurkan kursus pra-perkahwinan untuk bakal pengantin dan hampir 30,000 peserta mendapat manfaat kursus itu sejak 2019. – HELMY ABD RAHMAN