Jakoa bantu penduduk Orang Asli di PKPD

Jakoa bantu penduduk Orang Asli di PKPD

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang mengagihkan bakul makanan kepada 192 ketua isi rumah (KIR) Orang Asli di tiga kampung di Cameron Highlands yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Tiga kampung terbabit ialah Sungai Chohong yang menerima 50 bakul makanan, diikuti Sungai Kabuk (51) dan Sungai Tiang (91).

Pengarah Jakoa Pahang, Johari Alwi, berkata pihaknya mula mengagihkan bakul makanan kepada setiap KIR kelmarin dan urusan pemberian dilakukan kakitangan Jakoa daerah Cameron Highlands.

Menurutnya, pihaknya sentiasa prihatin dengan nasib masyarakat Orang Asli di negeri ini apabila sebelum ini bantuan bakul makanan telah diberikan kepada semua KIR oleh kerajaan pusat dan negeri bagi menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, bantuan sama diberikan sekali lagi apabila kampung atau penempatan Orang Asli berada dalam lokaliti PKPD disebabkan berlakunya penularan Covid-19.

“Hampir setiap bulan Jakoa  terpaksa memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Pembanguna Luar Bandar (KPLB) sebagai tambahan untuk menyediakan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli yang berada dalam lokaliti PKPD.

“Apabila kampung Orang Asli berada dalam lokaliti PKPD bermakna penduduk di situ tidak dibenarkan keluar kecuali kes tertentu sahaja dan disebabkan itu, bantuan diberikan bagi meringankan beban mereka,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, jabatan sentiasa menasihati masyarakat Orang Asli supaya memberi perhatian terhadap Covid-19 di kawasan penempatan mereka kerana sedikit kecuaian mengundang perkara buruk seterusnya boleh menyebabkan kematian.

Dalam pada itu, Johari berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha memberi vaksinasi kepada masyarakat Orang Asli berusia 16 tahun ke atas menggunakan vaksin dos tunggal Cansino.

“Menerusi Program ‘Outreach’ Vaksin Covid-19, kita bergerak dari dari satu daerah ke satu daerah dalam usaha memberi vaksin kepada semua masyarakat Orang Asli yang layak.

“Tumpuan kini di kawasan pedalaman yang memerlukan perjalanan jauh, kawasan pinggir bandar kebanyakan sudah selesai menerima vaksin,” katanya