PEKAN: Pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan pantas membaiki kerosakan jalan berlubang yang mengakibatkan kemalangan membabitkan penunggang motosikal di jalan Kuantan-Segamat, dekat simpang Kampung Perlak, dekat sini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, berkata pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil langkah segera.
“Saya telah menghubungi JKR dan tindakan segera menampal lubang itu sudah dilakukan oleh kontraktor projek jalan Kuantan-Segamat dan Roadcare.
“Untuk makluman, Jalan Kuantan-Segamat masih dalam kerja naik taraf, termasuk dekat simpang Kampung Perlak.
“Saya difahamkan, kerja menampal lubang di laluan ittu juga sudah dilakukan oleh Roadcare seperti diminta JKR manakala papan tanda berhati-hati juga diletakkan pada 15 Disember lalu.
“Cuma mungkin lokasi kejadian gelap menyebabkan penunggang tidak perasan papan tanda ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.
Dalam kejadian 4 Januari lalu, penunggang cedera selepas motosikal yang ditungganginya terbabas selepas terlanggar lubang di jalan berkenaan. – FATH AHNAF