KUANTAN: Jabatan Kerja Raya (JKR) Cameron Highlands melanjutkan penutupan Jalan Pos Betau-Lembah Bertam ke Cameron Highlands di Seksyen 18.650-19.650 hingga Julai depan bagi perlaksanaan kerja pembaikan laluan berkenaan disebabkan struktur jalan yang mendap.
Laluan berkenaan kini ditutup kepada semua kenderaan bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya.
Hantaran Facebook JKR Cameron Highlands memaklumkan, pelancong yang ingin ke kawasan peranginan tanah tinggi itu boleh melalui empat jalan alternatif.
“Pertama melalui jalan Kuantan-Maran-Jerantut-Lipis-Gua Musang- Lojing-Cameron, kedua Kuantan (Lebuhraya Pantai Timur)-Gombak- Sungai Buloh-Tapah-Ringlet/Simpang Pulai-Kampung Raja.
“Ketiga Kuantan (LPT)-Gombak- Plaza Tol Jalan Duta (DUKE)-Tapah- Ringlet/Simpang Pulai-Kampung Raja dan laluan terakhir Kuantan membabitkan (LPT)-Exit Genting Sempah-Batang Kali-Tapah-Ringlet/ Simpang Pulai-Kampung Raja,” petik hantaran itu.
Sebelum ini Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato’ Ramli Dato’ Mohd Nor menyatakan pihak kontraktor yang dilantik kini berusaha sedaya upaya menyegerakan kerja membaiki kerosakan jalan terbabit. – MOHD IMRAN IZZAD