MARAN: Keluar rumah seawal kira-kira 8 pagi, tidur pula pada 2.30 pagi dan bangun pada 5.30 pagi.
Begitulah rutin ‘wajib’ calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Luit, Jamaluddin Md Marzuki sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15).
“Jadual sangat padat sama seperti calon lain. Bertemu pengundi, melawat PDM (Pusat Daerah Mengundi), ziarah pesakit, ‘walkabout’ pintu ke pintu, bersukan, solat jemaah di samping pelbagai aktiviti lain bersama masyarakat Luit.
“Kalau dikira penat dan letih itu, semua orang melaluinya terutama calon. Keluar rumah awal pagi, balik rumah tengah malam. Anak-anak sudahpun tidur. Tak sempat nak berbual dengan mereka.
“Inilah pengorbanan awal saya dalam memastikan BN berjaya dalam perjuangan merampas kembali kerusi daripada pembangkang,” katanya ketika dihubungi Fikrah Pahang di sini, hari ini.
Jamaluddin, 45, yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Maran bersyukur dan berterima kasih kepada isterinya, Israhayu Abdul Mubin, 36, yang memahami situasinya ketika ini.
“Isteri faham tanggungjawab saya malah tidak kekok untuk berkempen bersama jentera wanita dan puteri walaupun ada anak yang masih kecil perlukan perhatiannya,” katanya.
Beliau juga adalah Penyelaras DUN Luit sering turun padang melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk kebajikan sekali gus menjadikan dikenali sebagai individu yang mudah mesra dan peramah serta disenangi masyarakat Luit.
Jamaluddin berkata, inilah masa baginya bekerja keras bersama pucuk pimpinan peringkat pusat, negeri dan DUN untuk memastikan kemenangan untuk BN.
“Jika kemenangan berpihak kepada saya, insha-Allah saya akan membawa misi dan visi membangunkan DUN Luit termasuk bandar Maran ke arah lebih moden dan berdaya maju.
“Saya juga akan fokus kepada golongan muda dengan mengambil kira keperluan mereka terlebih dahulu sebelum melaksanakan program dan aktiviti bersesuaian,” katanya.
Pada PRU-14, kerusi DUN Luit dimenangi Mohd Sofian Abd Jalil dari Pas dengan majoriti 272 undi untuk menewaskan calon BN, Nurhidayah Shahaimi dan Rosli Amin (PKR). – NUR HANNAH KHADIJAH