RAUB: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui 91 Rejimen Bantuan, Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 Rej Bantuan RAJD) sudah menyiapkan sepenuhnya pembinaan jambatan Bailey di Kampung Lechar yang terjejas akibat banjir, Disember 2021.
Ketua Jurutera Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Mejar Jeneral Datuk Ir Chapiti Redzuan berkata, 80 anggota termasuk dua pegawai daripada 91 Rejimen Bantuan RAJD diarah menyiapkan jambatan itu.
“Jambatan Compact Bailey 200 di Kampung Lechar pada mulanya dibina pada Januari 2021.
“Tapi, pada awal Januari 2022, jambatan itu tidak boleh digunakan kerana terdapat hakisan tanah sungai akibat banjir, ” katanya.
Beliau berkata, jambatan itu penting bagi memudahkan pergerakan penduduk di antara Perumahan Makmur Lechar Jaya dan Perumahan Kos Rendah Kampung Lechar dengan Pekan Ulu Dong serta pekan Raub.
Katanya, 91 Rej Bantuan RAJD melakukan pemasangan tambahan selepas mendapat permohonan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan juga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
” Kerja-kerja pemasangan siap sepenuhnya dan akan diserahkan kepada Pegawai Daerah Raub selepas ujian keselamatan dilakukan,” katanya.