Jaminan Tok Wan

Jaminan Tok Wan

KUANTAN: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail memberi jaminan setiap mangsa banjir yang layak akan mendapat bantuan wang ihsan (BWI) daripada kerajaan negeri.

Katanya, kelewatan pengagihan BWI kepada segelintir mangsa banjir di Pahang mungkin berpunca daripada masalah teknikal.

“Mungkin terdapat masalah teknikal contohnya nama tertinggal, (mangsa) tidak berdaftar dan sebagainya, tapi kalau ada (mangsa belum menerima BWI), boleh tampil ke hadapan untuk beritahu, pergi atau jumpa dengan pengerusi PKOB (pusat kawalan operasi bencana).

“Kalau dia layak, kita bagi, yang jadi masalah takut dia tak layak dapat tapi dapat pula, sebab ini duit kerajaan kita harus berhati-hati dalam menguruskannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022 Fasa 2 – Kluster Pemandu Teksi di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di sini, hari ini.

Mengikut laman portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 37,356 mangsa ditempatkan di 264 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan daerah di Pahang terjejas banjir pada Disember 2021. 

Daerah terjejas meliputi Kuantan, Temerloh, Bentong, Maran, Lipis, Raub, Jerantut, Bera dan Pekan.

“Saya bagi jaminan, kalau dia patut dapat, dia akan dapat, kalau dia terlibat dengan pemindahan, dia patut dapat, bergantung kepada dokumen-dokumen tertentulah,” tegas Wan Rosdy. – HELMY ABD RAHMAN