Janda Baik bersedia terima tetamu

Janda Baik bersedia terima tetamu

Husin Ibrahim

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

BENTONG: Dengan jangkaan penduduknya memperoleh imuniti kelompok menjelang 31 Ogos ini, Janda Baik sudah bersedia untuk dibuka kembali kepada pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, bagi menjayakan hasrat itu, seramai 2,946 penduduk di kawasan berkenaan diberikan suntikan dos kedua vaksin dalam menerusi satu program vaksinasi selama tiga hari bermula hari ini.     

Salah seorang pengusaha pelancongan di Janda Baik  menerima bantuan kewangan daripada Dato Sri Mohd Sharkar

“Melihatkan kepada sambutan program hari ini, kita (kerajaan negeri) yakin penduduk kawasan Janda Baik akan capai imuniti kelompok 31 Ogos ini, sekali gus bersedia menerima kunjungan pelancong,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada pemandu pelancong dan pengusaha pusat penginapan di Chalet MamaPapa, di Janda Baik, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Kamaruddin Ibrahim; Pegarah Pelancongan Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin dan Pegawai Daerah Bentong, Dato’ Mohd Zulkifli Hashim.

Mohd Sharkar berkata, Pelancongan Pahang sebagai agensi pembangunan dan kemajuan pelancongan dalam negeri sedang membuat kunjungan ke kawasan tumpuan ramai itu untuk memberikan penjelasan mengenai tata cara baru aktiviti pelancongan.

“Contohnya seperti ini seperti di Janda Baik ini, yang hanya mempunyai 378  buah bilek penginapan. Dulu bukan setakat ‘full house’ boleh tambah katil tapi kini, tak boleh lagi seperti itu, jumlah pengunjung perlu dihadkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, mahu atau tidak, golongan pelancong perlu membiasakan diri dengan norma baharu ketika COVID-19 masih bermaharajalela kini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan setiap kali melancong.

“Ini termasuk beberapa kekangan untuk mengunjungi beberapa tempat berbanding sebelum ini bebas untuk kemana sahaja yang diingini seperti dirancangkan.

“Malah sekiranya sebelum ini boleh sahaja ‘walk-in’ untuk menginap di hotel atau chalet contohnya, kini mereka perlu mendaftar lebih awal selain mengehadkan jumlah orang yang ikut serta,” katanya.