BENTONG: Kira-kira RM5 juta diperlukan untuk membaik pulih semua kemudahan asa pelancongan di Janda Baik yang musnah akibat banjir, Disember 2021.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, lebih daripada 30 pengusaha penginapan di kawasan itu terjejas teruk.
Mohd Sharkar berkata, beliau berharap Kerajaan Persekutuan dapat menyalurkan peruntukan khas dengan segera untuk membaiki kerosakan supaya industri pelancongan di Janda Baik dapat kembali beroperasi.
“Boleh dikatakan keseluruhan tempat kunjungan pelancong di Janda Baik ini rosak. Bukan hanya kemudahan asasnya tapi bilik masih dipenuhi lumpur, pasir, ada yang hampir roboh dan pendawaian elektrik yang masih belum selamat.
“Selain itu, lebih 300 pekerja kehilangan sumber pendapatan. Sisa banjir seperti tunggul tunggul pokok yang hanyut juga masih belum dibersihkan,” katanya selepas membuat tinjauan di Pulau Santap, di sini, hari ini.
Pulau Santap dianggap sebagai tempat tumpuan utama pelancong di Janda Baik, terutama dari Lembah Klang. – HUSIN IBRAHIM