Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar Mustaffa Kamal
KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) digesa mengadakan program dakwah secara berterusan kepada masyarakat Orang Asli di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Dato’ Mustapa Long, berkata ia bagi menerapkan kefahaman Islam secara halus dan santai kepada masyarakat peribumi berkenaan sekali gus mengukuhkan pegangan masing-masing.
“Kita minta supaya pihak MUIP dan JAIP adakan program dakwah secara tersusun berkaitan fardu ain dan perkara asas dalam Islam selain meletakkan seorang penggerak masyarakat berwibawa yang dapat memenangi hati masyarakat Orang Asli.
“Elok sekiranya pihak MUIP dapat membina sebuah rumah yang sesuai untuk memudahkan penggerak masyarakat atau pendakwah tinggal dan bergaul dengan masyarakat Orang Asli,” katanya kepada Fikrah Pahang, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas lanjut mengenai intipati ucapannya pada Persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, semalam.
Menurutnya, pihak Yayasan Pahang (YP) juga boleh memainkan peranan dengan mengenal pasti anak-anak Orang Asli suku Bateq Bechah Kelubi yang berpotensi dan mengambil mereka sebagai peserta Pengajian Pembangunan Tamadun Masyarakat Orang Asli (PERTAMA).
“Mereka ini kemudian nanti boleh menjadi da’i (pendakwah) kepada masyarakat mereka,” katanya.
Selain itu, katanya, pihak berwajib perlu mengawasi secara serius aktiviti badan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang giat menjalankan kegiatan menghasut penduduk Orang Asli supaya menolak pembangunan.