Jangan ambil kesempatan, pesan MB kepada pekedai barangan keperluan harian

Jangan ambil kesempatan, pesan MB kepada pekedai barangan keperluan harian

KUANTAN: Pasar raya dan pekedai menjual barangan keperluan harian di negeri ini disarankan supaya lebih kerap melakukan promosi dengan menurunkan harga jualan di kedai masing-masing.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ia sedikit sebanyak dapat membantu orang ramai, lebih-lebih lagi ketika harga jualan barangan keperluan dikatakan lebih tinggi berbanding sebelum ini.

KUANTAN 05 DISEMBER 2021. YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail membuat lawatan pemantauan harga barang di TMG Tanjung Lumpur. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Dato’ Nazri Ngah. FIKRAH PAHANG/Mustaffa Kamal

“Kita faham, pekedai dan pasar raya juga berdepan dengan kenaikan harga, tapi perlu juga memikirkan kesannya kerana yang akan terkesan nanti adalah orang ramai.

“Elok juga sekiranya pekedai-pekedai ini adakan promosi dan jualan murah untuk barang basah dan keperluan lain dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Fikrah Pahang ketika membuat tinjauan harga barangan di sebuah pasar raya di Tanjung Lumpur, di sini, hari ini.

Turut sama mengiringi beliau dalam tinjauan itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Dato’ Nazri Ngah serta Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang Datuk Mark Ujin.

Sementara itu, Mark berkata, pihaknya mendapati harga jualan barangan keperluan di negeri ini masih terkawal.

“Secara puratanya, memang ada kenaikan sedikit, tapi secara keseluruhannya harga masih lagi terkawal,” katanya.

Beliau turut memberi peringatan kepada pekedai supaya tidak menaikkan harga sesuka hati.

“Kita sentiasa mengadakan pemeriksaan dan pemantauan supaya tiada yang mengambil kesempatan menaikkan harga.

“Jika ada, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan (AKHAP) 201,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN