KUANTAN: Sebanyak 68 kes jenayah membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan hutan direkodkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) tahun ini.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata daripada jumlah berkenaan, kesalahan paling banyak adalah membabitkan aktiviti pencerobohan hutan iaitu sebanyak 51 kes. yang dicatatkan bermula Januari hingga 15 Novermber lalu.
“Ia diikuti sembilan kes berkaitan kesalahan transit, kes perlombongan haram dalam hutan simpan (empat) dan masing-masing dua kes membabitkan kesalahan kawasan lesen tanah kerajaan serta berkaitan industri berasaskan kayu.
“JPNP mengutip hasil daripada bayaran kompaun dan ganti rugi sebanyak RM1.7 juta antara Januari hingga November lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datin Samsiah Arshad (BN-Bukit Ibam) pada sesi soal jawab Mesyuarat kedua penggal keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Menjawab satu lagi soalan daripada Samsiah berkaitan jumlah keluasan HSK seluruh Pahang, Wan Rosdy berkata, sehingga November tahun ini, Pahang mencatatkan keluasan hutan sebanyak 2.039 juta hektar atau 57 peratus daripada jumlah keseluruhan negeri ini yang mana hampir 1.6 juta hektar atau 44 peratus membabitkan HSK.
“Kawasan hutan dibahagikan kepada empat seksyen iaitu HSK sebanyak 44 peratus, Taman Negara (tujuh peratus) dan rizab hidupan liar serta tanah hutan negeri masing-masing tiga peratus,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN