Jangan berkelah di TER ketika hujan

Jangan berkelah di TER ketika hujan

KUANTAN: Fenomena kepala air di Taman Eko Rimba (TER) di negeri ini boleh terjadi tanpa diduga terutama ketika hujan.

Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Regina Mariah Jong, berkata dengan itu pengunjung TER perlu berhati-hati sepanjang berada di pusat perkelahan itu.

“Saya menasihatkan mereka yang bercadang untuk berkelah di TER supaya lebih berhati-hati. Batalkan sahaja rancangan berkelah jika keadaan cuaca buruk. Kejadian kepala air boleh berlaku terutama ketika hujan lebat,” katanya.

Selain itu, katanya, mereka yang ingin melakukan aktiviti riadah dalam hutan simpan kekal juga dinasihatkan supaya terlebih dahulu perlu mendapatkan permit daripada Pejabat Hutan Daerah.

“Tindakan undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 kerana menceroboh boleh dikenakan pada mereka yang berada dalam hutan simpan kekal tanpa permit.

“Anggota penguat kuasa JPNP sentiasa melakukan rondaan bagi mengesan individu yang memasuki hutan simpan kekal tanpa permit,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD