KUALA LUMPUR: Ahli UMNO diminta memberi perhatian penuh terhadap semakan kehakiman berbubung kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd mebabitkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak.
Wakil Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, berkata terlalu banyak jasa ditabur perdana menteri keenam negara itu bukan sahaja kepada parti, tetapi juga rakyat Malaysia untuk dibiarkan bersendirian berdepan semakan kehakiman itu.
“Ingat, ini adalah peluang terakhir Bossku (Najib) untuk menegakkan keadilan selepas dinafikan hak menukar peguam bela yang baharu, disekat untuk mengemukakan bukti bukti baharu dan diadili serta dihukum oleh hakim yang kita tahu ada konflik kepentingan.
“Jadi, jangan tinggalkan Bossku keseorangan kerana pada saya, terlalu banyak jasa beliau kepada kita semua,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong itu.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.
Bercakap kepada Fikrah Pahang di Laman Media di lokasi sama selepas itu, Fadzli berkata, Badan Perhubungan UMNO Pahang amat berharap ahli parti memberikan perhatian bersungguh-sungguh kepada kes itu dan memberi sokongan kepada Najib.
“Parti (UMNO) kena tengoklah perkara ini dan sama sama berdoa kerana Bossku amat dekat dengan kami di Pahang,” katanya yang juga EXCO Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang.
Akhbar sebelum ini melaporkan, kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC) membabitkan Dato’ Sri Najib Razak mungkin boleh dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur jika Mahkamah Persekutuan membenarkan semakan kes berkenaan yang ditetapkan untuk didengar pada 19 Januari ini. – HELMY ABD RAHMAN