Jangan bimbang, bekalan minyak masak cukup

Jangan bimbang, bekalan minyak masak cukup

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang mengesahkan tiada masalah kekurangan bekalan minyak masak di negeri ini.

  Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Pahang, Normaswari Nordin berkata, bekalan mencukupi sama ada membabitkan minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsidi.

  Katanya, peruncit hanya dibenarkan mengehadkan penjualan tiga paket minyak masak bersubsidi bagi setiap pelanggan untuk memastikan bekalan sentiasa ada dan mencukupi.

KUANTAN. Anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang melakukan pemeriksaan minyak masak di premis perniagaan. 

  “Hanya minyak masak paket yang dikategorikan sebagai bersubsidi ditetapkan RM2.50 satu kilogram manakala minyak masak yang lain pula diklasifikasikan dalam kategori tidak bersubsidi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

  Beliau berkata, berdasarkan laporan, kenaikan harga minyak masak tidak bersubsidi di pasaran antara 16 hingga 24 peratus bermula sejak suku keempat 2020.

   Katanya, kenaikan itu disebabkan peningkatan kos di peringkat pengilangan berikutan kenaikan harga minyak sawit mentah dunia.

  “Seksyen penguatkuasaan KPDNHEP Negeri Pahang dibantu Pegawai Pemantau Harga (PPH) sentiasa melakukan pemeriksaan bagi memantau 85 premis perniagaan yang menjadi tumpuan awam di seluruh Pahang setiap hari.

   “Pada masa sama, kita turut memantau 307 premis di bawah skim ‘Dedicated Retailer’ (DDR) dan ‘Dedicated Wholeseller’ (DDW) bagi memastikan tahap bekalan barang keperluan pengguna termasuk minyak masak di negeri ini.

  “Oleh itu, KPDNHEP Pahang akan sentiasa memastikan barangan keperluan pengguna mencukupi di negeri ini dan menasihati pengguna agar bijak membuat pilihan berdasarkan kemampuan,” katanya.