Jangan Bimbang – Pengarah MKN Pahang
Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: “Jangan bimbang,” itu pesanan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Zairasyahli Syah Zulkifli kepada masyarakat di daerah ini susulan pembukaan pusat kuarantin dan rawatan berisiko rendah (PKRC) di Stadium Tertutup SUKPA di Indera Mahkota dekat sini.
Katanya, langkah itu tidak bererti Kuantan dikategorikan sebagai zon merah, sebaliknya masih kekal dalam zon hijau dan kuning.
“Ramai ingat apabila pesakit COVID-19 ditempatkan di sini bermakna Kuantan sudah jadi zon merah.
“Ini tak betul kerana cuma di sini sahaja zon merah, tapi kawasan sekitar masih kekal kategori kuning dan hijau. Saya harap penduduk Kuantan tidak bimbang dan mempercayai berita palsu disebarkan pihak tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan dan pemantauan operasi sanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang serta persiapan lain di Stadium Tertutup SUKPA, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Datuk Abd Rahim Muda dan Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali.
Mengulas lanjut, Zairasyahli Syah berkata, pihak berkuasa sentiasa memastikan pesakit COVID-19 yang ditempatkan di SUKPA tidak meloloskan diri.
“Pihak MKN, PDRM (Polis Diraja Malaysia), ATM (Angkatan Tentera Malaysia), APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) dan pihak berkuasa lain sentiasa melakukan pemantauan di sini.
Sementara itu, Mohamad Noor memberi jaminan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pesakit COVID-19 yang cuba meloloskan diri dari PKRC itu.
“Anggota dan pegawai kita (PDRM) akan memastikan perkara seperti itu tidak berlaku,” katanya.
Ends/othman