‘Jangan buat benda tak senonoh di Kuantan Art Street’

‘Jangan buat benda tak senonoh di Kuantan Art Street’

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar/video Zulkepli Osman

KUANTAN: Bagi memastikan 36 karya seni dinding 12 artis tempatan di Kuantan Art Street tidak menjadi sasaran vandalisme, kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sudah memasang kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang laluan berkenaan. 

  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, pemasangan CCTV itu membolehkan kawasan berkenaan yang terletak di lorong belakang bangunan kedai Jalan Mahkota di tengah bandar raya ini, sentiasa dipantau pihak bertanggungjawab.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Peladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin (tengah) meneliti lukisan mural kehidupan masyarakat ketika dalam lawatan kerja ke Kuantan Art Street malam tadi. Gambar Fikrah Pahang oleh Zulkepli Osman

  “Kita pasang CCTV untuk memastikan tempat ini tidak diganggu atau dirosakkan pihak yang tidak bertanggungjawab. Oleh itu, saya nak ingatkan kepada semua, tempat ini sentiasa dipantau… jadi jangan buat benda tak senonoh. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Peladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang. Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin berlatar belakang lukisan mural kehidupan masyarakat ketika dalam lawatan kerja ke Kuantan Art Street malam tadi. Gambar Fikrah Pahang oleh Zulkepli Osman

  “CCTV ini kita akan ‘check’ (periksa), ada bahagian keselamatan akan periksa setiap masa untuk pastikan semua lukisan selamat. Kita bimbang lukisan ini diconteng mereka yang tak bertamadun,” katanya kepada media selepas melawat dan meninjau suasana Kuantan Art Street di sini, malam tadi. 

  Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin dan Setiausaha MBK, Dato’ Hamiza Hamzah.

  Mengulas lanjut, Mohd Sharkar berkata, Kuantan Art Street yang dibuka secara rasmi pada 21 Februari lalu, sudah dilawati kira-kira 50,000 pengunjung.

  “Jumlah pengunjung dijangka terus meningkat berikutan keputusan kerajaan membenarkan semula aktiviti pelancongan menggunakan agensi pelancongan berdaftar dengan SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan kerajaan.

  “Kedudukan Kuantan Art Street di lokasi strategik juga sangat berpotensi untuk menjadi daya tarikan dan ikon terbaharu di bandar raya ini,” katanya. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Peladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin berlatar belakangkan lukisan mural kehidupan masyarakat ketika dalam lawatan kerja ke Kuantan Art Street malam tadi. Gambar Fikrah Pahang oleh Zulkepli Osman

  Dalam pada itu, beliau menambah, laluan Kuantan Art Street akan dipanjangkan lagi menjadikan jarak keseluruhan 670 meter.

  “Mungkin orang ramai boleh berjoging atau berbasikal sambil menyaksikan pemandangan indah lukisan di sini dan kita juga sedang berbincang dengan MBK untuk mengkaji sama ada boleh benarkan peniaga di sini menjual cenderahati atau barang lain, tetapi ia bergantung juga kepada sambutan ramai,” katanya.