Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Orang ramai diminta supaya tidak membuat andaian atau persepsi negatif susulan kebakaran bilik simpanan fail Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, semalam.
Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Abd Jalil Hassan berkata, dalam kejadian itu, pihaknya akan memaklumkan punca kebakaran terbabit apabila hasil siasatan selesai.
“Kita sudah menubuhkan pasukan siasatan dalaman dari Bahagian JSJ dan Pembangunan Logistik IPK Pahang untuk mengetahui punca kebakaran.
“Pasukan ini akan menjalankan siasatan lebih terperinci kerana siasatan awal oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesyaki punca daripada litar pintas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas fail yang musnah dalam kebakaran itu, Abd Jalil berkata, tiada fail penting dan bahan bukti terbabit dalam insiden berkenaan.
“Kebanyakan fail yang disimpan di bilik itu adalah fail bagi kes yang sudah selesai. Oleh itu, saya nasihatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian atau persepsi negatif,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang semalam, sebuah bilik penyimpanan fail di tingkat tiga bangunan IPK Pahang terbakar sebelum disedari anggota polis bertugas.
Kebakaran itu berjaya dipadamkan sepenuhnya dua jam kemudian selepas pihak bomba yang menghantar seorang pegawai dan 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan dan Indera Mahkota beserta empat jentera, bertungkus lumus memadam api.