KUANTAN: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak cemas mengenai isu pesakit Covid-19 dari Cameron Highlands dibawa menaiki bas ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Dato’ Dr Nor Azimi Yunus, berkata ia adalah prosedur biasa membabitkan pemindahan pesakit positif ke PKRC.
Katanya, kejadian itu berlaku pada 9 November lalu dan yang hanya sembilan pesakit positif Covid-19 dibawa menggunakan bas pada tarikh berkenaan.
“Ia membabitkan masing-masing dua kes ke PKRC Maran dan PKRC Universiti Malaysia Pahang (UMP) serta lima kes ke PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM).
“Sembilan pesakit ini perlu dimasukkan ke PKRC kerana kurang sesuai menjalani kuarantin kendiri di rumah selain pesakit ini terdiri daripada golongan kanak-kanak dan golongan ‘comorbid’,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata demikian menjelaskan isu yang tular di laman sosial melalui berita bertajuk ‘Pengunjung Terkandas ‘Seram’, Kecoh Bas Bawa Pesakit Covid-19 dari Cameron Highlands’.
Sebagai makluman, katanya, setakat ini Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Cameron Highlands tidak menerima sebarang notifikasi kes positif Covid-19 dalam kalangan pelancong untuk tujuan pengesanan kontak.
“Notifikasi untuk tindakan pengesanan kontak yang diterima setakat ini adalah membabitkan kontak keluarga dan bukannya pelancong.
“Setakat hari ini, kes aktif di Cameron Highlands adalah sebanyak 77 kes membabitkan 17 kes import dan selebihnya adalah kes tempatan.
“Status Covid-19 di Cameron Highlands adalah terkawal dengan dua mukim berstatus jingga (Tanah Rata dan Ulu Telom) dan satu mukim berstatus kuning (Ringlet),” katanya.
Bagi memastikan keselamatan, beliau meminta masyarakat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan walaupun sudah lengkap dos vaksinasi selain dibenarkan menjalani aktiviti sosial seperti melancong dan merentas negeri.
“Kita belum menang lagi, namun dengan usaha dan komitmen tinggi, kita akan menang dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN