Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
MUADZAM SHAH: Dua jengkaut disita berikutan didapati berada dalam Kompartmen 261 Hutan Simpan Ibam, di sini, dalam Operasi Bersepadu Lombong, semalam.

Turut disita dalam operasi tiga hari itu adalah enjin pam air dan enjin membekal kuasa elektrik yang digunakan sindikit melombong emas haram.
Operasi membendung pencerobohan Hutan Simpan Ibam itu diadakan oleh Unit Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Zon Timur dan Zon Barat.

Selain itu, operasai turut dibantu Unit Tindakan Khas (UTK) Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UNIFIED).
Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad, berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tidak bermakna pihaknya berehat sehinggakan membuka peluang kegiatan menceroboh hutan simpan.
Katanya, pihaknya mengesan tapak melombong emas haram di Kompartment 189 dalam Hutan Simpan Ibam yang menggunakan kaedah lubang bagi mendapatkan tanah dan batu yang mengandungi emas, pada hari pertama operasi.
Menurutnya, tanah dan batu terpilih diletakkan dalam guni sebelum dipindahkan untuk aktiviti mengayak di kawasan takungan air yang disediakan.
Nor Azirim berkata, kegiatan berkenaan dilakukan pada siang dan malam.
“Ini kali pertama kita mengesan melombong emas secara haram menggunakan kaedah lubang. Sebelum ini, teknik palong dan ayak dengan kuali besi,” katanya.
Nor Azirim berkata, sindikit dipercayai profesional dan menggunakan teknologi moden untuk mengesan jajaran emas yang terdapat dalam Hutan Simpan Ibam.
“Kesalahan yang dilakukan ialah memasuki hutan simpan tanpa permit mengikut Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.