KUANTAN: Jabatan Perikanan Pahang menasihatkan orang ramai supaya tidak cuba menyentuh obor-obor yang kini banyak terdapat di Pantai Batu Hitam.
Pengarahnya, Abdullah Jaafar berkata, pihaknya sudah ke lokasi itu bagi mengenal pasti kejadian itu dan mengambil contoh untuk mengesahkan spesies hidupan laut terbabit selepas menerima maklumat ada individu disengat.
“Kakitangan bahagian teknikal akan menyemak dan meneliti spesies obor-obor atau ampai-ampai yang dikatakan muncul di Pantai Batu Hitam sejak beberapa hari lalu.
“Sehingga ini, kita tidak dapat sahkan spesies dan sejauh mana bahaya hidupan laut itu,” katanya, di sini, hari ini.
Sementara itu tinjauan Fikrah Pahang mendapati pelancong tetap mengadakan aktiviti mandi dan berkelah Pantai Batu Hitam walaupun mereka mengetahui terdapat obor-obor di kawasan itu. – MOHD IMRAN IZZAD