BERA: “Bezanya antara kita (Barisan Nasional) dengan PH (Pakatan Harapan), kita menambahkan lagi peruntukan untuk rakyat, tetapi mereka (PH) batalkan segala insentif yang diberikan BN dahulu,” kata YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, antara contoh yang dapat dilihat ialah apabila kerajaan PH membatalkan projek pembinaan dan penambah baikan masjid di Pahang yang sebelum itu diluluskan BN.
“Saya cakap dengan rakan rakan di Pahang, waktu BN memerintah banyak masjid diluluskan di Pahang ini, tetapi apabila PH ambil alih, mereka batalkan peruntukan untuk masjid.
“ECRL (Laluan Rel Pantai Timur) juga dibatalkan PH sebaik mereka memegang tampuk pemerintahan negara. Jangan sekali lagi kita ditipu, bak kata pepatah, jangan dipatuk ular dua kali,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata demikian ketika berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran dan Perlancaran Jentera BN Pahang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Laman Kerayong, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Dato’ Sri Dr Ahmad Zahid Hamidi; YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan kepemimpinan BN peringkat negeri dan nasional. – HELMY ABD RAHMAN