Helmy Abd Rahman
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Kerajaan negeri memandang serius penyalah gunaan lambang negeri Pahang atau jata Kerajaan Pahang baik di media sosial, mahupun tempat lain contohnya kenderaan oleh pihak tidak bertanggungjawab sejak kebelakangan ini.
Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata, Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 [Enakmen No. 18 Tahun 2017] memperuntukkan larangan penggunaan tidak wajar lambang, gelaran atau anugerah Negeri Pahang termasuk Jata Diraja KDYMM Sultan Pahang, Jata Diraja Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Mahkota Pahang dan Jata Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur.
“Subseksyen 😔1) Enakmen No. 18 Tahun 2017 memperuntukkan bahawa walau apa pun peruntukan dalam mana-mana undang-undang bertulis, tiada seorang pun boleh, kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang menggunakan apa-apa lambang, gelaran atau anugerah, atau apa-apa replika mengenainya, bagi maksud apa-apa perdagangan, perniagaan, pekerjaan, profesion atau apa-apa tujuan sosial atau persendirian.
“Juga tidak dibenarkan membuat, menempah, menghasilkan dalam apa-apa bentuk atau cara atau menggunakan atau terus menggunakan apa-apa lambang, gelaran atau anugerah, atau apa-apa replika mengenainya dalam tajuk apa-apa paten.
“Mana-mana individu juga tidak dibolehkan membuat apa-apa cap dagangan atau reka bentuk atau membuat bagi maksud jualan atau menjual atau mempamer untuk jualan atau memiliki untuk dijual apa-apa lambang, gelaran atau anugerah.
“Turut dilarang mempamer atau melekatkan apa-apa bahan yang mengandungi apa- apa lambang, gelaran atau anugerah, atau apa-apa replika mengenainya kepada apa-apa kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, mana-mana individu yang melanggar larangan penggunaan tidak wajar lambang Negeri Pahang boleh didakwa dan dikenakan hukuman mengikut subseksyen 3 (2) Enakmen No 18 Tahun 2017.
“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan untuk tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” tegasnya.