Jangan lupa kami ya nanti apabila dah menang

Jangan lupa kami ya nanti apabila dah menang

PEKAN: Pengundi kawasan Pekan berharap empat calon wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pada 19 November ini.

Penduduk FELDA Chini Tiga, Husna Khlon, 51 berkata amanah yang diberikan rakyat perlu digalas seikhlas mungkin sepanjang tahun bukan hanya pada musim PRU.

“Wakil rakyat perlu bekerja untuk semua peringkat rakyat tanpa mengira bangsa, tak kira di mana mereka tinggal.

“Kebajikan rakyat diberi keutamaan, sediakan kemudahan asas yang diperlukan. Rakyat juga memerlukan wakil rakyat yang mudah didekati dan sentiasa muncul ketika senang dan susah,” katanya, di sini hari ini.

Bagi Musa Razali, 64, yang menetap di perumahan Pulau Serai berkata: “Wakil rakyat jangan terlalu banyak berjanji ketika berkempen kerana bimbang tidak dapat menunaikannya apabila wakil rakyat nanti.” 

Penduduk Kampung Orang Asli Tanjung Puput, Karim Johar, 50 berkata, Orang Asli akan lupakan BN jika wakil rakyat mengabaikan tanggungjawab membela nasib Orang Asli.

“Walaupun tinggal di jauh di kawasan pendalaman kami tetap mahukan bantuan dan kemudahan,” katanya. 

Pada PRU-15 kali ini, Barisan Nasional (BN) menampilkan Dato’ Sri Sh Mohamed Puzi Sh Ali untuk bertanding di kerusi Parlimen Pekan dan Dato’ Khairuddin Mahmod di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis.

DUN Peramu Jaya pula menyaksikan penampilan sulung Dato’ Mohd Nizar Najib manakala Dato’ Mohd Fakhruddin Mohd Ariff di DUN Bebar dan Mohd Sharim Md Zain di Chini. – MOHD IMRAN IZZAD