Jangan lupa SOP kat sekolah yak

Jangan lupa SOP kat sekolah yak

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

TEMERLOH: Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad mengingatkan supaya semua pelajar sekolah menengah dan sekolah menengah agama selain kakitangan sekolah di negeri ini supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) di bawah Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) apabila sekolah dibuka 11 Oktober ini. 

Menurutnya, antara SOP yang perlu diikuti ialah pelajar wajib memakai pelitup muka sepanjang tempoh berada dalam kawasan sekolah dan pemakaian pelitup muka berganda amat digalakkan. 

Beliau berkata, pelajar boleh hadir ke sekolah tanpa perlu divaksin terlebih dahulu tetapi dinasihatkan supaya mengambil vaksin bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

“Setakat ini seramai 3,141 Pelajar Tingkatan 4, 5 dan 6 SMAN menerima suntikan vaksin melalui Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing.

“Guru yang belum menerima vaksin lengkap atau belum divaksin perlu hadir ke sekolah tetapi tidak dibenarkan melaksanakan PdP secara bersemuka dan perlu ditempatkan dalam bilik berasingan selain harus sentiasa memakai pelitup muka berganda serta pelindung muka dengan mematuhi SOP khusus disediakan,” katanya.

Tambahnya, pelajar bergejala atau menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19 perlu menjalani ujian kendiri ketika di sekolah atau asrama.

“Ujian kendiri perlu dilaksanakan tiga kali, iaitu ketika pelajar kembali ke asrama, hari keenam dan ke-14 berada di asrama. 

“JAIP akan membiayai kos kit ujian kendiri Covid-19 untuk semua pelajar Tingkatan 4, 5 dan 6 di SMAN yang akan kembali ke sekolah pada 11 Oktober 2021 akan datang.

“Bagi pengurusan prasarana, pelajar dikehendaki makan di dalam kelas ketika rehat dengan seliaan guru dan tidak dibenarkan makan di kantin. 

“Penyaman udara boleh digunakan pada tahap minimun dan penggunaan kipas angin amat digalakkan, manakala langsir, skirting meja, tikar dan permaidani tidak boleh dibenarkan di kelas,” katanya. 

Katanya lagi, bagi pengoperasian pelajar di asrama, semua pelajar dibenarkan ke asrama walaupun belum divaksin.

“Pelajar yang tinggal di negeri Fasa 1 PPN dibenarkan untuk ke asrama  menggunakan surat pengesahan daripada sekolah bagi membolehkan mereka merentas negeri. 

“Pelajar dibenarkan ke asrama secara berperingkat dengan beberapa langkah perlu diikuti, antaranya dihantar ibu bapa atau penjaga; menaiki kenderaan disediakan pihak sekolah dan menggunakan pengangkutan udara atau air.

“Pelajar juga tidak dibenarkan pulang  bermalam di rumah, manakala  ibu bapa atau penjaga tidak dibenarkan melawat anak jagaan di asrama  pada hujung minggu. 

“Pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit ke asrama dan mengikuti  garis panduan yang ditetapkan oleh sekolah berkaitan penggunaan peranti itu. 

“Penggunaan langsir asrama tidak digalakkan dan sekiranya tidak dapat dielakkan pihak sekolah mestilah tidak menghalang pengudaraan dan pencahayaan manakala penghadang fabrik tidak perlu dipasang pada katil dua tingkat.

“Pelitup muka tidak diwajibkan ketika di asrama, tetapi pemakaiannya amat digalakkan. Aktiviti riadah pula hanya boleh dilaksanakan secara individu dengan penjarakan sekurang-kurangnya satu hingga tuga meter (m) dan dijalankan di kawasan terbuka serta mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

Menyentuh aspek PdP, beliau berkata, jadual waktu sedia ada boleh digunakan apabila sekolah dibuka dan boleh diubah jika ada keperluan. 

“Aktiviti sukan dan ko-kurikulum bersemuka tidak dibenarkan, pelaksanaan ujian SEGAK (Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia) secara bersemuka dibenarkan untuk kelas peperiksaan sahaja, manakala kelas tambahan tidak boleh dilaksanakan apabila sekolah dibuka,” katanya.