KUANTAN: Semua kontraktor dan pemaju projek di daerah ini perlu melupuskan sisa binaan mereka dengan bijak dan di lokasi yang sudah disediakan pihak berkuasa.
Datuk Bandar Kuantan, Dato’ Hamdan Hussin, berkata sehubungan itu, penyediaan pusat pembuangan dan pengurusan sisa lengai disediakan Alam Flora Environmental Solutions Sdn Bhd (AFES) di Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman, dekat Sungai Karang, perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Ini adalah usaha kita menjadikan Kuantan bandar raya hijau dan lestari yang boleh menjadi contoh kepada bandar lain.
“Jika sebelum ini ada kontraktor dan pemaju melupuskan sisa binaan mereka secara haram, jadi apabila ada kemudahan disediakan AFES, kita harap perkara seperti itu tidak lagi berlaku.
“Kaedah digunakan di pusat pelupusan ini juga lebih teratur dan dapat membantu memulihara alam sekitar,” katanya kepada media selepas sesi lawatan tapak dan perasmian fasiliti pengurusan sisa lengai di mukim Sungai Karang, dekat sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah AFES, Datuk Mohd Zain Hassan.
Penyediaan khidmat pengurusan tapak pembuangan dan pelupusan sisa lengai itu akan mengenakan bayaran sebanyak RM16 setiap tan dan tapak pelupusan seluas 3.6 hektar berkenaan adalah yang pertama di negeri ini.
Hasil daripada sisa yang dilupus di fasiliti dibina dalam kawasan tapak milik Alam Flora Sdn Bhd itu, akan dikitar semula sebelum diguna semula dalam industri pembinaan. – KHALEEF FITRI