KUANTAN: Tiada pelancong dibenarkan masuk ke Taman Negara, manakala mereka yang berada di kawasan Taman Negara Kuala Tahan dan Mukim Hulu Tembeling dinasihatkan keluar bagi mengelakkan daripada ditimpa bencana banjir.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang dalam satu kenyataan media malam ini, juga mengeluarkan larangan sepenuhnya penggunaan jalan Kuala Tahan ke Mukim Hulu Tembeling bagi kenderaan berat.
“Bagi kenderaan ringan pula dinasihatkan supaya tidak menggunakan jalan dari Kuala Tahan ke Mukim Hulu Tembeling.
“JPBN Pahang mengambil keputusan ini serta-merta untuk memastikan keselamatan orang awam,” kata kenyataan itu.
Sebanyak lima daerah iaitu Lipis, Jerantut, Raub, Maran dan Kuantan dilanda banjir setakat ini.
Sementara itu, aplikasi InfoBencana JKM melaporkan seramai 3,573 orang daripada 1,049 keluarga terpaksa bermalam di 87 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh Pahang sehingga jam 11.30 malam ini.
“Jumlah ini membabitkan 1,198 lelaki dewasa, 1,195 perempuan dewasa, kanak-kanak lelaki (558), kanak-kanak perempuan (530), bayi lelaki (43), bayi perempuan (49), warga emas lelaki (134), warga emas perempuan (139), orang kurang upaya (OKU) lelaki (15) dan OKU perempuan (13),” katanya.