Jangan mudah hukum seseorang murtad – Dr Zulkifli

Jangan mudah hukum seseorang murtad – Dr Zulkifli

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri menasihati umat Islam di negara ini agar tidak sewenang-wenangnya menghukum seseorang itu murtad hanya berdasarkan khabar angin.

Merujuk kepada isu perkahwinan seorang wanita Malaysia yang beragama Islam dengan kapten pasukan hoki India, Zulkifli berkata Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan seseorang yang berbangsa Melayu itu adalah beragama Islam.

“Oleh itu, tidak semudahnya bagi sesiapa untuk menghukum seseorang yang berbangsa Melayu itu murtad hanya berdasarkan khabar yang belum dipastikan kesahihannya, dan kerajaan yakin serta percaya, isu ini akan dapat ditangani dalam masa terdekat oleh pihak berkuasa agama negeri Johor.

“Ini seperti yang dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, lebih-lebih lagi isu ini juga mendapat perhatian langsung daripada Sultan Johor (Sultan Ibrahim Sultan Iskandar),” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Negara hari ini.

Sementara itu berkenaan isu peruntukan yang diberikan kepada sekolah agama dan sekolah tahfiz, Zulkifli berkata kerajaan memperuntukkan RM100 juta secara “one-off” bagi menyelenggara dan menaik taraf  bangunan sekolah agama rakyat, pondok dan sekolah tahfiz tahun depan.“Peruntukan itu akan disalurkan kepada institusi yang berdaftar dengan pemegang taruh yang berautoriti di peringkat negeri masing-masing, termasuk yang diusahakan oleh rakyat secara persendirian atau swasta.

“Kerajaan dari semasa ke semasa akan terus berusaha memastikan institusi pendidikan Islam di negara ini, merangkumi institusi pondok, tahfiz dan sekolah agama, terus kekal berdaya saing selari dengan pendidikan arus perdana,” katanya.

Menyentuh mengenai perbezaan prosedur operasi standard (SOP) bagi masjid dan surau di setiap negeri sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, Zulkifli menjelaskan SOP itu ditetapkan oleh mufti negeri dengan nasihat Majlis Keselamatan Negeri dan Jabatan Kesihatan negeri.

Beliau berkata kerajaan negeri bertanggungjawab melaksanakan SOP mengikut kesesuaian di negeri masing-masing, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan urusan agama di bawah bidang kuasa raja atau sultan.

— BERNAMA