Jangan pandang mudah ramalan hujan berterusan, titah Pemangku Raja Pahang

Jangan pandang mudah ramalan hujan berterusan, titah Pemangku Raja Pahang

KUANTAN: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan supaya ketua jabatan yang berkaitan bencana, Pegawai Daerah dan penghulu mukim tidak memandang mudah ramalan hujan berterusan di Pahang.

Pengelola Bijaya Diraja KDYMM SultanPahang, Dato’ Ahmad Khirrizal Ab Rahman, berkata, baginda meminta semua pihak mengambil langkah awal memastikan segala persiapan dalam keadaan sentiasa bersedia.

Katanya, baginda turut menitahkan supaya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) memastikan parit dan longkang sentiasa diselenggara dengan baik bagi mengelak banjir kilat.

“Baginda juga menasihatkan agar rakyat yang berada di kawasan berpotensi dinaiki air agar sentiasa berwaspada dan membuat persiapan awal,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ahmad Khirrizal berkata, Pemangku Raja Pahang juga menyeru pengurusan masjid dan surau di Pahang dapat mengadakan solat hajat agar Allah SWT mengangkat segala wabak, malapetaka dan bencana daripada Pahang dan Malaysia amnya.

Berdasarkan ramalan cuaca dan analisis oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), negeri Pahang dijangka menerima hujan berterusan sehingga esok. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN