Jangan politikkan isu bangsa dan agama, titah Pemangku Raja Pahang

Jangan politikkan isu bangsa dan agama, titah Pemangku Raja Pahang

PEKAN: KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan semua wakil rakyat di negeri ini supaya tidak mempolitikkan isu berkaitan bangsa dan agama.

Pada masa sama, baginda juga mahu semua wakil rakyat berpegang dan menghayati lima prinsip Rukun Negara.

“Saya mahu mengingatkan semua pihak bahawa isu bangsa dan agama tidak patut dipolitikkan, apatah lagi sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama.

“Saya mahu semua wakil rakyat saya berpegang kembali dan menghayati teguh lima prinsip Rukun Negara. Ingatlah susah payah orang dahulu membina negara dan negeri ini.

“Jangan kerana ideologi dan kepentingan politik, kita gadaikan pembangunan dan kemajuan yang telah mula kita rasa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan YAB Menter Besar Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Tengku Hassanal Ibrahim memperkenankan pelantikan Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai YAM Menteri Besar Pahang. 

Baginda turut mengingatkan supaya kedua-dua pihak daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bersedia bekerjasama membentuk kerajaan negeri.

“Ketepikan ideologi dan sentimen politik. Letakkan agenda pembangunan negeri dan kebajika rakyat sebagai keutamaan. 

“Kini bukan lagi masa untuk berpolitik… cukup-cukuplah. Sekarang masa untuk bekerja,” titahnya. – HELMY ABD RAHMAN DAN HUSIN IBRAHIM