MARAN: Pentadbir Tanah Maran mengeluarkan Notis Pendudukan Tanah Kerajaan Tanpa Kebenaran Pihak Berkuasa Negeri di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 kepada pengusaha kelulut pada 14 Februari lalu ekoran aduan awam terhadap pencerobohan tanah milik kerajaan negeri di Taman Sri Keramat, di sini.
Dalam satu kenyataan di sini, hari ini, Pentadbir Tanah Maran memaklumkan, pengusaha Kelulut terbabit pernah mengemukakan permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) namun ditolak pihak berwajib.
Ia berikutan lokasi berkenaan berada di kawasan dibekukan permohonan selaras keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang ke-42 pada 1988.
“Pihak Pentadbir Tanah Maran turut menerima aduan awam berkaitan penggunaan sumber air bukit oleh pengusaha kelulut berkenaan yang juga sumber air bersih penduduk sekitar tanah yang diceroboh.
“Aduan turut menyatakan penduduk kampung turut dihalang dan dikenakan caj penggunaan oleh pengusaha kelulut tersebut bagi penggunaan sumber air bukit,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, Pentadbir Tanah Maran berharap semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu berkenaan kerana semua tindakan diambil mengikut peraturan dan undang-undang. – FIKRAH PAHANG