Jangan pulok ada yang jadi gunting dalam lipatan, pesan Wan Rosdy

Jangan pulok ada yang jadi gunting dalam lipatan, pesan Wan Rosdy

KUANTAN: “Janganlah ada yang terasa hati, membawa diri atau memboikot usaha kita sehingga menjadi gunting dalam lipatan. Itu bukan budaya kita di Pahang,” itu pesan YAB Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Pesanan itu ditujukan kepada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Pahang yang tidak tercalon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November ini.

Wan Rosdy berkata, BN mempertaruhkan sebanyak  27 muka baharu daripada keseluruhan 42 kerusi DUN.

“Kepada semua calon yang terpilih, ambillah ruang dan peluang ini. Berikan yang terbaik dan buktikan kemampuan kita berkhidmat dengan cemerlang. 

“Percayalah, tiada yang lebih besar untuk mereka yang memilih jalan politik, melainkan memberi yang terbaik kepada masyarakat. Saya percaya, semua itu adalah satu ibadah yang harus dilaksanakan dengan sejujur dan sebaik-baiknya,” katanya sebelum mengakhiri pengumuman nama calon DUN BN untuk bertanding pada PRU15 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di sini, hari ini. 

Beliau turut mengajak hadirin dan pendokong serta penyokong BN untuk meningkatkan usaha dan gerak kerja bagi memastikan kemenangan besar BN di Pahang.

“Saya berdoa semoga Allah SWT memberikan kita rahmat, kekuatan serta kemenangan pada PRU-15 kali ini, insya-Allah. Undilah kestabilan. Undilah kemakmuran. Undilah Barisan Nasional,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN